Sunday, November 16, 2008

X-Gig platform pemuzik indie!!!


PUJIAN harus diberikan kepada stesen radio yang memainkan 100 peratus lagu tempatan, Xfresh, apabila mereka hadir bersama sebuah siri persembahan terbuka diberi nama X-Gig dengan menampilkan kumpulan muzik tempatan. Kumpulan terbabit pula kebanyakannya belum dikenali serta bergerak secara bebas.

Penganjuran sesi persembahan yang dijayakan oleh kumpulan indie itu sendiri memberikan ruang buat peminat untuk mengikuti persembahan muzik berbeza, bukan hanya oleh nama popular yang sudah biasa ditonton di kaca televisyen mahupun didengar lagu mereka di corong radio.

Walaupun masih belum mencapai tahap tertinggi, namun usaha stesen terbabit dikira cukup bererti, terutama buat kumpulan baru yang masih mencari-cari tapak untuk menonjolkan bakat serta kemampuan diri.

X-Gig tidak syak antara medan terbaik buat kumpulan terbabit mempersembahkan kemampuan sebenar dalam permainan muzik. Tidak kira rock, pop mahupun reggae, X-Gig mengumpul kumpulan bebas terbaik untuk hiburan pendengar setia stesen berkenaan, serta peminat muzik berkumpulan amnya.

Kemampuan beberapa kumpulan indie sudah terbukti apabila mereka menjayakan siri persembahan di Republik dan Sunway Pyramid pada 31 Mei dan 26 Julai. Terbaru, X-Gig berkampung pula di kelab terkemuka Zouk, petang 2 Ogos lalu. Pada petang Sabtu itu, kumpulan seperti Bittersweet, They Will Kill Us All (TWKUA), Agrobeats, Couple, Pesawat, Nadia’s Picture Show dan Roti mengambil giliran menghiburkan peminat.
Peluang untuk muncul dalam sesi persembahan terbuka itu diberikan Xfresh kepada kumpulan yang dirasakan layak, berdasarkan kepada pita demo yang dihantar mereka kepada pihak penganjur.

Bukan kumpulan muzik saja sebenarnya yang diketengahkan menerusi si X-Gig, malah pada siri berikutnya di Borneo Rainforest, Bandar Sunway, pada 9 Ogos, siri jelajah berkenaan menampilkan pula barisan MC yang baru hendak mencipta nama.

Yang nyata, siapa juga penggiat seni yang berpeluang menunjukkan bakat pada siri berkenaan, pastinya mereka tidak akan melupakan pengalaman berharga itu. Siapa tahu, bakat yang menyerlah akan akhirnya memikat syarikat rakaman atau penaja, seterusnya terhasil kerjasama lebih bermakna pada masa depan.

Bagi penyanyi utama kumpulan Roti, Aliff, peluang muncul dalam siri X-Gig di Zouk tidak ternilai harganya. Bukan mencari peluang untuk dipikat syarikat rakaman, sebaliknya mereka lebih berpuas hati selepas diberikan kesempatan oleh sebuah stesen radio yang memperjuangkan produk tempatan, untuk menonjolkan keupayaan.

GEGAR: Antara ratusan peminat yang berhibur bersama siri persembahan X-Gig di Zouk, Kuala Lumpur.

Dia sendiri tidak pernah menyangka kumpulan Roti akan dipilih menjayakan program terbabit, kerana banyak lagi kumpulan lain yang turut menghantar demo kepada pihak penganjur. Lalu, ruang yang diberikan Xfresh membolehkan mereka berkongsi lagu yang pernah dirakam kumpulan itu dalam bentuk EP bersama peminat.

“Siri X-Gig sebenarnya banyak membantu kumpulan indie seperti kami untuk menonjolkan diri. Walaupun banyak juga gig yang kami sertai, tetapi pendedahannya tidak sebesar yang diberikan stesen radio ini. Pendedahan itulah yang lebih bermakna buat kami, sebagai kumpulan yang baru hendak mencari tapak dalam industri,” katanya yang berhasrat menghasilkan album penuh bersama kumpulan itu.

Menurut anak muda ini, Roti baru saja ditubuhkan kira-kira enam bulan lalu dan sejak itu, mereka tidak henti-henti diundang menjayakan persembahan, pada majlis bersaiz kecil mahupun besar. Ketika ini, kebanyakan persembahan mereka disokong oleh lima lagu yang sudah pun mereka rakamkan.

Menampilkan irama yang berbeza-beza, termasuk zapin, pada petang itu Roti menghiburkan ratusan peminat dengan tiga lagu - Litar Pintas, Ilustrasi Mimpi dan Bosan. Membezakan mereka dengan kumpulan lain, apabila alat muzik biola turut dimainkan seorang anggotanya.

Dengan minat orang ramai terhadap muzik indie, Roti tentunya sebuah daripada ratusan kumpulan bebas yang mengintai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam dunia muzik negara ini. Semoga, X-Gig dapat membantu memperkenalkan lebih banyak kumpulan berbakat di luar sana, bagi memartabatkan lagi persada seni muzik.

1 komplen dari rakan-rakan:

~the love of me~ said...

dah pandai blogging nampak :D link la aku :D

Related Posts with Thumbnails